Bagaimana Untuk Mengenali Penipu 

Pinjaman Peribadi Bank



Mengenali penipu pinjaman peribadi bank
Baru sebentar tadi saya menerima aduan daripada seorang mangsa penipu pinjaman peribadi bank yang mengadu telah ditipu sebanyak RM2,000 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pihak ini telah menelefon beliau dan memperkenalkan diri sebagai agensi dari pinjaman peribadi bank. Beliau menyatakan telah mendapat maklumat prospek daripada borang yang telah di isi online.
Pihak terbabit telah konon-kononnya menguruskan permohonan pinjaman peribadi bank untuk prospek, dan telah lulus. Walau bagaimanapun, oleh kerana kelayakan prospek tidak cukup kuat, scammer atau penipu terbabit meminta wang deposit sebanyak RM2,000 iaitu bayaran ansuran 2 bulan (kononnya) sebelum pinjaman tersebut dimasukkan ke dalam akaun prospek.
Mangsa yang terdesak nak gunakan duit terus masukkan RM2,000 ke akaun penipu terbabit. Hasilnya wang tersebut lesap dan penipu terbabit terus mendiamkan diri.
Mengenali penipu pinjaman peribadi bank

Penipu Pinjaman Peribadi Bank Dah Lama Bertapak di Malaysia

Kes seperti yang saya sebutkan di atas bukanlah kes penipuan baru. Malah kes-kes seperti ini telah lama berleluasa di negara kita. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan di atas individu yang terdesak nak pakai wang.
Siapa sahaja apabila dah terdesak sudah pasti mudah percaya, terutama jika pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut menabur janji-janji manis untuk mempengaruhi mangsa mereka.
Secara peribadi, sudah pastilah saya amat marah apabila mendengar tentang perkara ini. Bukan sahaja pihak yang tidak bertanggungjawab ini menipu wang ringgit mangsa, malah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini memberi kesan negatif kepada agensi yang benar-benar menguruskan permohonan pinjaman peribadi bank.
Oleh itu, di sini saya berikan cara untuk mengenali penipu pinjaman peribadi bank.

Mengenali Penipu Pinjaman Peribadi Bank

Terdapat beberapa kaedah untuk mengenali penipu atau scammer pinjaman peribadi. Mereka yang dapat berfikir dengan waras dan bijak sudah pasti akan dapat mengenali penipu-penipu ini. Tetapi, seperti yang saya katakan sebelum ini – apabila terdesak, sudah pasti kewarasan akal diletak tepi.

1. Ada Blacklist Bank atau Telah Disenaraihitamkan Bank Pun Boleh Mohon

Ini adalah tanda utama yang mereka menipu. Individu yang telah disenaraihitam oleh Bank, di mana rekod tersebut telah dipaparkan di laporan CTOS – tidak boleh memohon sebarang pinjaman bank. Tidak kisahlah sama ada pinjaman peribadi, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan sebagainya – asalkan pinjaman bank.
Jika ada pihak yang mengaku boleh menguruskan permohonan pinjaman bank anda walaupun nama anda telah di blacklist oleh bank di Malaysia – pihak tersebut adalah scammer.
Mereka akan memberi alasan bahawa mereka mempunyai hubungan di bank Negara yang boleh memadamkan rekod blacklist anda. Ini adalah dongeng yang tak masuk akal. Jika ada pihak atau agensi yang mengaku seperti ini, lari jauh-jauh.

2. Perlu Membayar Deposit, Upfront Atau Wang Pendahuluan

Bayaran deposit, upfront atau wang pendahuluan adalah modus operandi yang selalu digunakan oleh penipu pinjaman peribadi bank. Mereka akan memberi pelbagai alasan untuk meminta wang deposit dari anda.
Nak bayar banker lah, caj proses lah, caj agreement lah, dan bermacam lagi alasan yang akan mereka beri. Selalunya selepas mendapat bayaran deposit, pihak yang tidak bertanggungjawab ini akan menghilangkan diri dengan wang anda. Permohonan pinjaman peribadi anda? Sudah pastilah tidak dihantar pun kepada bank.
Untuk pengetahuan anda, bank tidak akan mengenakan sebarang caj wang deposit, upfront atau wang pendahuluan untuk permohonan pinjaman bank. Segala caj seperti caj proses, caj setem duti, caj insurans dan sebagainya akan ditolak terlebih dahulu daripada jumlah pinjaman anda sebelum bank mengkreditkan duit pinjaman ke akaun anda.
Jadi jika ada pihak yang menyatakan pinjaman anda telah lulus, tapi perlu bayar dahulu caj guaman, caj dokumen, caj proses, caj runner, dan caj segala mak nenek sebelum pinjaman dikreditkan ke akaun anda - block terus pihak terbabit dari contact anda.
Jika mereka ugut akan dakwa anda atau tuntut caj ganti rugi kerana anda tak nak ambil pinjaman yang dah lulus, anda tak perlu risau selagi anda tidak tandatangani apa-apa dokumen dalam bentuk black & white.

3. Skim atau Pelan Pinjaman Peribadi Bank Yang Tak Masuk Akal

Salah satu cara scammer pinjaman peribadi menipu mangsa adalah dengan menawarkan skim atau pelan pinjaman peribadi yang tak masuk akal – iaitu dengan kadar faedah(interest rate) atau kadar keuntungan(profit rate) yang terlalu rendah.
Walaupun kadar faedah dan kadar keuntungan (bulanan atau tahunan) setiap jenis pinjaman dan bank ada berbeza – anda perlu berhati-hati jika ditawarkan skim pinjaman dengan kadar faedah yang tak masuk akal. Tambahan lagi jika mereka menyatakan ini adalah skim pinjaman dari bank untuk meningkatkan keyakinan mangsa.
4. Proses atau Prosedur  Pinjaman Yang Mencurigakan
Proses pinjaman yang betul ialah anda berikan dokumen yang diperlukan seperti slip gaji, penyata bank, penyata KWSP dan sebagainya (bergantung kepada jenis pinjaman peribadi bank), dan bank akan memproses permohonan pinjaman anda.
Proses ini memakan masa, dan hanya terdapat beberapa pinjaman peribadi bank sahaja yang menggunakan konsep “Instant Approval” seperti Easy by RHBCIMB Cash Plus dan lain-lain. Itu pun memakan sedikit masa kerana loan officer atau banker perlu memasukkan maklumat anda ke dalam sistem.
Jadi jika anda menerima panggilan telefon yang mengatakan mereka adalah daripada agensi yang menguruskan pinjaman peribadi bank, dan anda tak perlu beri sebarang dokumen untuk proses permohonan – anda perlu berhati-hati.
Tak masuk akal hendak memohon pinjaman, tapi tak perlukan dokumen. Sedar-sedar mereka beritahu pinjaman dah lulus, dan perlu bayar sedikit caj sebelum duit disburse masuk ke dalam akaun mangsa – seperti kes yang saya ceritakan pada permulaan artikel ini.

Scammer Mengaku Sebagai Syarikat Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPW) Yang Berdaftar

Ini adalah taktik biasa yang akan digunakan oleh scammer, iaitu mengaku sebagai Syarikat PPW yang berdaftar di Malaysia. Atau, mereka akan memperkenalkan diri sebagai wakil atau ejen kepada syarikat PPW yang berdaftar.
Taktik ini buat ramai yang terpedaya dengan penipu pinjaman peribadi. Ye lah, syarikat PPW berdaftar kan, takkan nak tipu?
Masalahnya betul ke syarikat tu syarikat PPW yang berdaftar? Jika ya betul ke syarikat tersebut ada melantik ejen untuk mewakili syarikat mereka? Jika ada, betul ke individu tersebut adalah ejen yang berdaftar dengan syarikat terbabit?
Ini adalah soalan-soalan yang perlu anda tanya dan buat semakan sebelum anda berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai syarikat PPW berdaftar atau ejen syarikat tersebut.

Semak Status Syarikat Pemberi Pinjaman Wang Berlesen

Sebenarnya anda boleh tahu syarikat tersebut adalah syarikat PPW yang berdaftar atau tidak melalui sistem eMAPS yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Sistem ini mengandungi pangkalan data maklumat semua syarikat atau organisasi Pemberi Pinjaman Wang Berlesen yang sah di Malaysia.
Cara menggunakan sistem eMAPS KPKT
Berikut ialah cara-cara untuk menyemak status syarikat PPW menerusi sistem eMAPS.
  1. Layari laman sistem eMAPS KPKT di => Sistem eMAPS KPKT
  2. Masukkan nama syarikat atau organisasi pada ruangan 'Nama Organisasi'. Anda juga boleh masukkan nombor syarikat (SSM) jika anda tahu nombor pendaftaran syarikat terbabit.
  3. Tekan butang 'Cari'.
Jika syarikat tersebut adalah syarikat PPW yang berdaftar, maklumat syarikat tersebut akan dipaparkan oleh sistem. Jika syarikat tersebut tidak berdaftar, atau lesen telah tamat - carian akan memaparkan "Tiada Padanan Ditemui".


Sistem eMAPS KPKT paparan syarikat
Paparan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen melalui carian sistem eMAPS KPKT
eMAPS KPKT tiada padanan
Tiada padanan syarikat ditemui oleh sistem eMAPS

Syarikat PPW Adalah Berdaftar - Saya Boleh Teruskan Proses Meminjam

Anda lakukan carian melalui sistem eMAPS dan dapati syarikat tersebut adalah syarikat PPW yang berdaftar – jadi bolehkah anda teruskan proses meminjam?
Nanti dulu – jangan gelojoh. Siasat dulu tentang syarikat tersebut.
Pada sistem eMAPS, klik pautan syarikat tersebut. Maklumat syarikat akan dipaparkan, termasuk alamat syarikat dan nombor telefon rasmi. Di sini anda boleh menghubungi syarikat tersebut untuk pertanyaan lebih lanjut.


EMAPS KPKT maklumat detail syarikat ppw
Maklumat terperinci syarikat Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPW) pada sistem eMAPS KPKT

Ini penting sekiranya individu yang menghubungi anda untuk pinjaman peribadi mengaku adalah wakil atau ejen syarikat terbabit. Hubungi syarikat melalui nombor telefon yang dipaparkan pada maklumat eMAPS dan tanya adakah mereka ada melantik wakil yang berurusan melalui WhatsApp atau telefon.
Kebanyakan syarikat pinjaman peribadi berlesen hanya berurusan melalui pejabat mereka secara hitam putih. Jarang ada syarikat PPW yang melantik wakil atau ejen yang berurusan semata-mata melalui telefon atau WhatsApp.

Ditipu Scammer Pinjaman Peribadi – Apa Langkah Seterusnya?

Sekiranya anda telah terpedaya dengan penipu pinjaman peribadi, besar kemungkinan wang yang anda telah pindahkan kepada mereka anda tak akan dapat kembali.
Anggap sahaja wang tersebut dah hangus.
Tetapi, anda boleh mengambil langkah seterusnya untuk membantu pihak berkuasa mengesan dan membawa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan.

Buat Laporan Polis

Ramai yang malas nak buat laporan polis kerana dah tahu duit tu tak akan dapat balik. Jangan begitu. Jalankan tanggungjawab anda.
Buat laporan dan bantu pihak polis jalankan siasatan terhadap penipu-penipu ni supaya boleh elakkan ramai lagi yang menjadi mangsa.
Laporan polis juga boleh bantu sekiranya anda diancam atau diugut scammer-scammer ni. Banyak juga kes yang mangsa diugut kerana tak mahu bayar duit deposit dan mahu membatalkan pinjaman.
Buat laporan kepada pihak polis dan minta khidmat nasihat apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Kongsi Pengalaman Anda

Jangan teragak-agak untuk berkongsi pengalaman anda dengan rakan-rakan, adik beradik, dan yang paling berkesan di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.
Secara tak langsung anda boleh mendedahkan identiti pihak yang tidak bertanggungjawab ni dan mengelak ramai lagi yang menjadi mangsa mereka.

Pengalaman Ditipu Scammer Pinjaman Peribadi

Berikut saya kongsi pengalaman-pengalaman dari mereka yang telah ditipu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini yang telah dikongsi pada ruangan mesej di bawah. Mohon anda baca dan jadikan panduan untuk mengelak perkara yang sama berlaku kepada anda.
@AFI FAIYAN
Saya pon rasa kena tipu… dia whatapp tanya nak buat ke loan ke? Kebetulan saya memang tengah nak pakai duit.. so bila dah bagi semua dokumen bagai… xsampai sejam dia kata loan approved 10K dengan ansuran RM220 sebulan. Pastu dia minta saya bayar Rm220 untuk pendahuluan kononnya nak tengok kita mampu bayar bulan-bulan.. hmm ..Saya pun bayar lah rm220 dan katanya lagi duit loan akan masuk 30 minit selepas pembayaran… Saya tunggu dalam sejam duit tak masuk lagi saya call dia.. boleh plak dia cakap tak boleh nak buat lagi.. sebab saya kena bayar lagi rm 1k untuk test confirmation account kononnya dia nak tau kad atm kita ada dengan kita…. saya rasa tak sedap hati.. saya cakap nak batalkan loan.. dia tak bagi sebab nanti saya kena penelty fees 15% dari loan.. so saya x jd nk batalkan.. akhirnya saya terpaksa bayarlah rm 1k tu.. dia kata masuk 1k tu dlm acc kita.. tp bila da tunjuk resit dia suruh transfer pulak pada dia… dengan alasan nanti saya akan dapat Rm 10k + 1k = RM11k. lepas saya transfer… saya tggu lagi dalam 30 minit sebab katanya dia akan masukkan duit.. Lagi sekali saya ditipu… dia call cakap duit x boleh masuk kononnya bank negara malaysia x bagi masukkan duit ke acc simpanan.. dia suruh saya buat acc semasa dan minta RM2K… apa ni…. saya kena tipu lagi… huhuu.. apa yang harus saya buat… saya nak balik duit saya tu.. huhuuuuu
@nor
saya ada 1 kes lagi tak ingat company apa..saya dah masuk kn duit guaman 100 kemudian kali ke 2 masuk lg 350..saya kata nak nk pegi pejabat minta alamat dan no opis mereka kata saya nk rompak pulk syarikat mereka.gila betul.bila saya nk batalkn dia ugut pulak.yg ini saya nk buat repot polis tapi bukti yg ada dah terpadam dlm tel saya. cuma resit bayaran atas nama peguam je ada.macam mana ya.
@ida
salam sejahtera smlm 13/11/18 saya telah ditipu rm 6533.00 yang mengaku egen pinjaman berlesen Dr.Legancy sdn bhd…mula dia suruh masukkan rm700 sebagai deposit utk 2 bln byaran,,kemuadian minta sya buat trnsfer akaun utk sajkan pemegang akaun rm1500..sblh petang dia minta saya masukkan lgi rm1000 sebagai insurans..dn akhir sekali dia kata sya lulus utk pinjaman 30k..sya masukkan lg rm3333.00 .dia kata dlm 15 minit selepas bayaran duit akan dimasukkan ke dalam akaun…bermula dr jam itu hingga ke hari ini pgilan sya tidak berjawap..sya dh buat lapuran polis dgn bukti yang ada.
@KAK NGAH
Sy pun sudah terkena sammer, sy da apply loan rm100k, dan agent loan kate loan sy lulus perlu byr stamping duty Rm880.
Sy pun byrla tanpa fikir pjg sebab dh niat nk byr hutang lain2 bila dpt duit loan tu. Lps tu dia mintak plk testing payment sbyk Rm3000, sy pun byrla, agent loan ckp nt stamping duty n test payment diaorg akan transfer semula ke dlm loan 100k tu, lps sy dh byr dia suh beli insurance plk, sy pun byrla sebab kononya nk cover perlindungan lau dpt duit loan sekiranya sy kemalangan or berlaku ape insurance cover. Lps sy byr dia kate nme sy xlepas nk masukkn 100k tu. Dia suh topup insrance lg Rm4+++, tp yg ni sy dh xbyr sebab dh xda duit cash kt tgn dn sy tersedar kena tipu bila sy mintak copy insurance ape yg dia pakai, dia kata Tokio marine, bila sy call tanya tokio marine, dia org ckp tidak ada liase dgn mana agensi money lender dn suruh buat report polis. Sy dh kerugian sebyk RM7240. Agent loan ayt manis suh pinjam duit sana sini dulu utk dahulukan duit pemprosesan semua tu, nt dpt loan byrla balik org yg kita pinjam n belanjala mkn kwn2 yg tolong pinjamkan duit tu. Aduh sedih semua dh terlambat. Duit hangus cmtu je. Sekrg sy tgh fikir bolehke dptkan duit sy semula. Mcm mana nk buat pun tak tahu, hrp yg terdesak nk pakai duit cm sy, jgn ulangi cm sy yer. Sekarng menyesal, kena cri duit pulak nk byr hutang org dan duit loan lain, sebab dh dahulukan duit yg ada kt loan penipu ni….
@Aeda
Salam..saya rasa saya pun dah terkena ni..huhu..sy terdesak nak guna duit..buat loan 30k..dah bagi dokumen semua, dia kata layak..pastu minta 700 utk byrn ntah apa..sy ckp sy x ada byk tu..dia ckp dia akn runding dgn company utk tlg byr separuh..jadi sbb company boleh tlg byr 300 dia minta sy byr 400..sy bnkin..x smpi stgh jam dia kol sy bgtau x dpt msuk sistem sbb x cukup 300..mesti cukup 700 baru boleh approve loan..sy cekuplah mana2 yg ada byr juga..huhu..lpas 700 dia mnta lg 3000 utk buka akaun..nak nangis pun ada..mcm td dia ckp dia tlg cari 1500 dan sy kna cari 1500..pinjam sana sini dapat..tapi dia ckp lpas tu kwn yg mo bg 1500 tu duit dah guna utk apa2..jd sy juga kena suruh usaha..ok setel 3000 ada lagi kena minta 6000 utk insuran..sy nak nangis dah marah..sy tny knp syarikat u menyusahkan org yg mmg susah tmbh dibebankan…termkn pujuk sy pinjam kawan jg 2000 sbb dia ckp dia tolong dptkn 1000 dan dia tulis surat untuk minta company benarkn sy bayar separuh saja..dah byr 2000 yg mngaku hq kol lah kononnya ..tp loan sy kna reject sbb insuran x boleh ditanggung byrn oleh company katanya..so dia minta sy cari lg 3000 utk cukupkan 6000..sy suruh pospon esok..mlm ni sy tergerak mncari maklumat syarikat tu..tp saya x jumpa pun sebarang maklumat.
logo syrikat yg trdpt dlm surat reject x sama dgn mana2 logo yg nama syarikatnya begitu..huaaaa saya x tau nak buat apa..pening kepala fikir kena tipu ,fikir nak. byr hutang yg x fsl2 diwujudkn..sy dahlah ssh..kna tnggung beban brtmbh lg..knplah bodoh sgt ni???jadi setakat ni saya ditipu 700+2500+2000
@itsnady
Salam. Saya baru ditipu juga dua hari lepas, dapat dari ws orang tu contact then dia list kan pinjaman cmne apa semua. Lepastu mmg saya tgh terdesak nak guna duit, mula2 say nak pinjam 2k shj. Lepastu dia ckp minima 5k, jadi saya mcm okay lah. Sbb ikat selama 2thn, bulan bulan 233. Jadi mula mula dia kata bgi dokumen, ok jadi saya send photostat ic, slip gaji, settlement bank dan bil api. So lepas saya bgi dia kata tunggu dalam sejam 2 akn cntct balik. So saya tunggu, dia kata lulus tapi saya kena byr duit insurans takaful. Sebanyak rm160. Jadi masa tu saya mcm nak cpt duit, tak byk fikir saya ters transfer duit tu. Dan lepas je tu, dia kata nnti akan ada org HQ contact saya. Dan lepastu dalam sejam ada no lain call berithu saya kena byr rm300. Untuk claim lhdn pula. Jadi saya byr, dan lepastu pula. Dia kata kena ada kan rm2000 di dalam acc saya. Saya dah mcm pelik dan saya terdetik. Dorg nak hack acc saya pula ke? Sbb saya ada ctos. Jadi saya tanya kwn2 saya yg lain, kalau CTOs ni tk layk tu mean tk layak. Bukannya kita percaya org tu boleh clearkan nama kita. Tapi nama syrikat tu First Gold Enterprise tu ada cuma saya call pejabat or no phone tk dpt. mmg tkde dlm perkhidmatan. Dan mereka yg contact saya tu dua org tu, melalui ws shj. Jadi cmne ya? Saya kena scam ke cmne? Saya dah tanda tgn agreement semua tapi melalui ws shj. Bantu saya 🙏🏻
@Rlinda
Mau cerita jua, nasib baik jumpa page ni kalau tidak sdh termakan penipuan . Saya memang ada apply loan online mgkin diorg dapat dari sana. Mula2 deal dgn pompuan melayu claim that she works with Bank Rakyat and the dia pas dgn mamat cina utk tolong supaya cepat lulus loan, pastu minta ic and no accout bank, sy bagi le (account tu kosong) tak sampai 24 jam, dia kata dah lulus TAPI kena bayar 180 secepatnya utk secure the aggrement that their lawyer made and then lagi 500 utk upah Lawyer, so sy minta lah dia punya iC (i konw it wasn't his IC) , bussiness card and license registration and nama company , check ikut link yang page ni bagi *TIADA PADANAN* so sy screen shoot lah and send ke dia... sampai skng takde bunyi...sy jmpa page masa dia desak2 suruh cepat2 bayar 180 tu.. i feel a bit curious sebab loan dengan bank atau pinjaman berlesen teda wang pendahuluan masa ni lah sy google and i found this blog, thank god! Thank you by the way sebab menghindarkan saya daripada ditipu hidup2 😊   P.s saya dah bagi No account bank ,perlukah saya call bank saya utk hentikan apa2 transaksi yang berlaku selain daripada yang sudah sedia ada?
Dan banyak lagi dari mereka yang sudi untuk berkongsi pengalaman. Terima kasih. Anda boleh baca banyak lagi pengalaman ditipu ketika mohon pinjaman peribadi pada ruangan mesej di bawah.

Berhati-hati Dan Jadi Pengguna Yang Bijak

Setakat ini, itu sahaja kaedah mengenali penipu pinjaman peribadi bank yang dapat saya kongsi. Artikel atau panduan ini akan saya update dari semasa ke semasa sekiranya pihak kami menjumpai teknik penipuan yang pihak tidak bertanggungjawab ini gunakan.
Anda perlu jadi pengguna yang bijak untuk mengelakkan dari ditipu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Jika anda inginkan bantuan, atau khidmat nasihat, tinggalkan soalan anda pada ruangan komen di bawah dan InsyaAllah pihak kami akan cuba mencuri masa untuk menjawab soalan-soalan anda. Jangan risau, tak ada caj untuk khidmat nasihat.
Atau jika anda telah pun terjebak dengan penipuan pihak-pihak ini, mungkin anda boleh kongsikan pengalaman anda untuk membantu pengguna-pengguna lain mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Kongsikan pengalaman anda pada ruangan komen di bawah.
Siti Malissa 


Berpegalaman Selama 13 Tahun 
Dalam Bidang Pembiayaan Peribadi Koperasi 

HP          : 012-289 8091 / 012-648 8091 
FB          : Malissa Expert
                                          Youtube  : Malissa Exper







n

k

Comments