Adakah Golongan Millennial Bakal Mengalami Bencana Kewangan?
April 9, 2019
Jika anda berusia antara 25-35 tahun, anda perlu baca baca artikel ini segera.
Dalam tempoh 2 tahun yang lepas, golongan millennial telah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara, start-up, dan juga antarabangsa. Namun begitu, golongan ini jugalah yang kelihatan ditimpa bencana kewangan kritikal, yang bakal menggelapkan masa depan mereka. Mari kita lihat apakah realiti yang menanti.
Statistik menunjukkan terdapat peningkatan tahap hutang dalam kalangan golongan millennial dan Generasi Y di Malaysia. Mereka berkemungkinan mengalami kejutan budaya dan tekanan dalam mengurus kewangan diri. Puncanya berkisar antara hidup melebihi kemampuan dan terperangkap dengan emosi sewaktu berbelanja, menurut satu kajian yang dibuat oleh Asian Institute of Finance (AIF).
Kajian tersebut turut menggariskan satu fakta yang merisaukan: golongan millennial ini terlalu bergantung kepada pinjaman berkos tinggi, dengan 38% telah menggunakan pinjaman peribadi, 47% mempunyai hutang kad kredit, manakala hanya 28% sahaja yang yakin dengan ilmu dan kemampuan kewangan mereka.
Berikut merupakan masalah-masalah yang perlu kita hadapi dan selesaikan segera, sebelum bencana melanda:
Obses dengan Teknologi dan Pembelian dalam Talian
Inilah antara sebabnya syarikat teknologi seperti Apple dan Samsung menjadi ‘gergasi’ ekonomi hari ini. 65% dari rakyat Malaysia memiliki telefon pintar. Dari peratus tersebut, 88% merupakan golongan millennial, menurut survey yang dijalankan oleh Pew Research Center pada tahun 2015. Malah, pada tahun lepas, rakyat Malaysia membelanjakan RM6.8 billion untuk telefon pintar!
Jumlah ini merupakan peningkatan dari RM5.4 billion yang dibelanjakan pada 2015. Perbelanjaan terbesar merupakan untuk telefon pintar model sederhana, pada harga sekitar RM900 – RM1,050, menurut pengurus GfK Asia Tenggara, Stanley Kee.
Tanya diri anda; apakah anda perlu membeli iPhone terkini pada harga RM4,000, ataupun model lama atau jenama berbeza yang memiliki ciri-ciri yang hampir sama pada separuh harga, jika ianya bukanlah satu keperluan?
Selain telefon pintar, golongan millennial juga obses dengan pembelian dalam talian. Ciri-ciri yang memudahkan ini boleh mendatangkan bencana tanpa disiplin dan kawalan nafsu yang betul. Satu kajiselidik keatas tabiat berbelanja golongan millennial yang dijalankan oleh Bank UOB Malaysia mendapati terdapat 38% peningkatan keatas perbelanjaan dalam talian pada 6 bulan pertama tahun lepas, dengan golongan millennial berbelanja 1.4 kali ganda lebih dari kumpulan umur yang lain.

Aplikasi dan laman web seperti Grab, Lazada, Zalora, Expedia, dan 11Street memudahkan kita berbelanja, dari pengangkutan, membeli barang keperluan, dan juga servis dan pelancongan. Tanpa kita sedari juga, ianya turut merangsang nafsu berbelanja, sehingga mencecah paras yang tidak mampu ditanggung. Malah, kita mengambil pinjaman peribadi dan memohon kad kredit untuk menanggung nafsu membeli ini.
Tambah memburukkan keadaan, golongan ini turut meletakkan keutamaan keatas gaya hidup premium, dari gajet berteknologi tinggi, makanan-makanan mewah, pakaian berjenama, melancong ke tempat-tempat viral, dan lain-lain tanpa mengukur baju di badan sendiri. Seramai 40% dari responden kaji selidik AIF mengakui mereka telah berbelanja lebih dari kemampuan.
Bagi mereka yang baru sahaja menamatkan pelajaran dan memasuki alam pekerjaan, kami ingin tegaskan yang anda seharusnya meneruskan gaya hidup berjimat cermat sewaktu di universiti dan kolej. Sudah tentulah, anda ingin meraikan gaji pertama yang diterima. Ianya tidak salah, tetapi dengan berlebihan, keraian tersebut bakal bertukar kepada kesedihan.
Pengajaran:
- Berbelanjalah mengikut kemampuan anda. Jika anda memiliki kad kredit, JANGAN gunakannya seperti wang tumai. Ianya merupakan pinjaman jangka pendek 30 hari.
- Fahami hutang dan bahaya pada masa hadapan sekiranya tidak diurus dengan betul.
Hidup Berhutang
Golongan millennial hari ini kebanyakkannya hidup berhutang, dan mereka tidak kisah akan perkara itu. Berdasarkan kaji selidik AIF sebelum ini, 70% dari responden yang memiliki kad kredit hanya membuat bayaran minimum sahaja setiap bulan, dan 45% sering terlewat membayar hutang mereka. Tabiat ini bakal mengundang bahaya kadar faedah yang tinggi.
Senario kini menyaksikan ramai rakyat Malaysia yang hidup di paras had kredit yang bahaya, dari satu bulan ke bulan seterusnya, dan melengah-lengahkan masa untuk melangsaikan hutang mereka. Bayaran minimum, iaitu 5% dari baki tertunggak, hanya cukup untuk melangsaikan caj kadar faedah sahaja sebenarnya, dan tidak akan membuatkan hutang anda terbayar dengan cepat. Dengan menangguhkan bayaran hutang, anda bakal berhadapan kesukaran untuk memohon produk-produk kewangan pada masa akan datang.
“Kadar hutang generasi millennial bertambah teruk disebabkan tabiat berbelanja mengikut nafsu, ditambah pula dengan mudahnya untuk memohon dan mendapatkan pinjaman serta kad kredit sekarang” – laporan AIF – Briding the Knowledge Gap of Malaysia’s Millennials
Dari perspektif lain, ada antara mereka yang membuat pinjaman untuk mula berniaga tanpa membuat kajian dan perancangan terlebih dahulu. Akibatnya, perniagaan mereka mengalami kerugian, dan terpaksa bekerja makan gaji semula untuk membayar hutang tersebut.
Menurut laporan AIF itu juga, 75% dari golongan millennial ini mempunyai sekurang-kurangnya satu hutang jangka panjang (tempoh bayaran lebih dari setahun), dan 37% dibebani lebih dari satu hutang jangka panjang. Sewa beli merupakan pinjaman tertinggi (56%), diikuti kad kredit dan pinjaman pendidikan (47% dan 40%).
Dengan statistik ini, kita dapat rumuskan yang ramai dari golongan ini hidup melebihi kemampuan mereka. Tanpa mengambil kira kemampuan, mereka berbelanja mengikut nafsu untuk kepuasan sementara.
Pengajaran:
- Jangan menyangka yang anda mempunyai masa yang panjang untuk membayar hutang. Kadar feadah terkumpul merupakan musuh utama anda.
- Gunakan teknik pelangsaian hutang yang betul, seperti pelan pindahan baki untuk melangsaikan hutang segera.
Tiada Teknik Pelaburan yang Betul
Kajian dari AIF ini juga mendapati 41% dari 1000 responden mempelbagaikan pelaburan mereka. Tambahan pula, pelaburan dilihat bukanlah satu keutamaan, deagan hanya 23% melabur lebih dari 20% pendapatan mereka, dan 40% melabur kurang dari 10% pendapatan.
Dengan peratus golongan millennial yang tinggi yang hidup dalam hutang, tidak menghairankanlah pelaburan bukan keutamaan utama. Tetapi, kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pelaburan juga merisaukan.
Di sebalik ini, masih lagi ada harapan. Statistik ini juga menunjukkan lebih dari separuh responden memiliki unit amanah dan pelan insurans (52% dan 51%), manakala 9% melabur dalam saham. Dari segi yang lain, seramai 27% dari pemegang Skim Persaraan Swasta (PRS) merupakan dari golongan millennial. Di sebalik angka tersebut, kita tidak dapat lari untuk memikirkan adakah mereka selalu membuat pemotongan untuk skim tersebut ataupun hanya berharap kepada insentif RM1,000 dari kerajaan, dan kemudian berhenti mencarum?
Dari laporan akhbar The Star, jumlah pencarum PRS dari golongan millennial meningkat sebanyak 71% dari 27,263 pencarum pada Mac 2015 ke 46,692 tahun ini.
“Pada bulan lepas, jumlah pencarum mencecah 67,000, atau 27% dari 248,325 pencarum PRS seluruh negara, menurut Private Pension Administrator Malaysia (PPA), badan yang mentadbir urus PRS. Golongan umur ini memiliki sehingga RM99.2 juta simpanan aset dibawah skim ini pada Mac yang lepas”, The Star.

Dalam hal yang lain, ianya agak mengejutkan apabila hanya 9% dari responden mempunyai pelaburan saham biarpun ianya mudah dan murah untuk melabur di Malaysia. Tetapi, AIF menyatakan yang trend ini mungkin berpunca dari sikap berhati-hati dalam melabur, terutamanya dengan keadaan ekonomi semasa yang sukar diramal, dan juga pengalaman mereka melihat 2 krisis ekonomi yang telah berlaku sebelum ini.
Selain itu, sikap golongan ini yang lebih memfokuskan kepada nasihat rakan-rakan, keluarga dan rakan sekerja (65% menurut laporan AIF)menjadikan maklumat yang mereka peroleh sewaktu melabur adalah terhad.
“Dengan ini, kita dapat lihat sikap mereka yang lebih DIY dalam membuat keputusan” – AIF
Pengajaran:
- Belajar untuk melabur dalam saham, unit amanah, deposit tetap, dan pelaburan-pelaburan lain. Jika anda tidak mempunyai modal yang besar, pelajari cara bagaimana anda boleh mula melabur bermula dari RM100
- Minta pendapat ahli yang berkelayakan (remisier, pakar pelaburan) untuk dijadikan panduan ketika melabur, selain rakan dan ahli keluarga.
- Ketahui dan amalkan 5 langkah mudah untuk melabur.
- Mahirkan diri dengan istilah yang digunakan dalam pelaburan.
Golongan Millennial Ada Simpanan, Tetapi Adakah Ia Mencukupi?
Golongan millennial memiliki stereotaip tidak menyimpan wang, tetapi ini tidaklah benar 100%. Mereka mempunyai simpanan. Malah, 64% dari golongan millennial yang bekerja mempunyai pelan simpanan yang berterusan setiap bulan. Tetapi, simpanan tersebut akan menjadi sia-sia sekiranya beban hutang kita lebih tinggi. Inilah salah satu tindakan yang bukan sahaja golongan millennial, bahkan hampir seluruh rakyat Malaysia lakukan: terus berhutang disamping menyimpan.
Apa yang mereka tidak sedar, kadar faedah yang dikenakan keatas hutang tersebut hanya akan menelan dividen yang diperoleh melalui simpanan. Ini kerana kadar faedah kad kredit atau pinjaman biasanya lebih tinggi berbanding kadar faedah akaun simpanan. Dengan inflasi sekitar 2-4% setiap tahun, anda sebenarnya mengalami kerugian dari hutang walaupun memiliki simpanan.
Atas sebab inilah, kebanyakan perancang kewangan dan konsultan perlu memainkan peranan dalam membimbing dan mendekati golongan millennial. Berdasarkan statistik, hanya 37% sahaja yang mendapatkan khidmat penasihat kewangan, dan 26% yang yakin dan mengikuti panduan yang diberikan.

Disebalik gaya berbelanja Generasi Millennial yang kelihatan boros, berdasarkan kadar hutang mereka, golongan ini amat positif dalam menyimpan, tetapi mungkin kekurangan ilmu untuk mengurusnya dengan berkesan.
Golongan millennial juga cenderung untuk menyimpan wang pada akhir bulan, iaitu baki dari perbelanjaan mereka. Lantas, jumlah yang disimpan mungkin tidak banyak, sekitar RM100 – RM, mungkin lebih sedikit sahaja. Simpanan ini mungkin boleh membantu untuk matlamat jangka pendek, namun apa yang bakal terjadi sekiranya anda ditimpa kecemasan?
Pengajaran:
- Anda perlu menyimpan sekurang-kurangnya 40% dari pendapatan bersih untuk meliputi matlamat jangka pendek, panjang, dan juga persediaan kecemasan.
Mengejar Keseronokan Segera Bakal Merosakkan Belanjawan Millennial
Dengan bantuan teknologi, segala urusan menjadi begitu pantas di zaman moden ini, dari membeli-belah, pekerjaan, melancong, dan menempah pengangkutan. Atas sebab itu, ianya mungkin telah membentuk satu komuniti yang inginkan keseronokan sementara dengan segera.
“Kepuasan segera merupakan keinginan untuk memenuhi kehendak dengan segera, tanpa perlu menunggu. Ringkasnya, anda mahukan apa yang anda kehendaki, sekarang di depan mata” – Neil Patel
Dengan sikap kepuasan segera inilah bagaimana para usahawan dan peniaga merancang pelan pemasaran produk mereka. Dengan memberikan golongan millennial apa yang mereka kehendaki, tidak hairanlah sesetengah individu boleh menghabiskan gaji mereka dalam beberapa jam sahaja.
Fenomena ini bukan sahaja terhad kepada sikap berbelanja, bahkan juga dalam menggunakan internet dan media sosial. Jika tidak berhati-hati, besar kemungkinan kita akan terperangkap dengan skim penipuan internet dan membuat keputusan yang bodoh. Tidak hairanlah menurut satu kaji selidik dari syarikat telekomunikasi Telenor Group, rakyat Malaysia amat mudah diperangkap sindiket penipuan, berbanding dengan rakyat dari Thailand, India, dan Singapura, dengan 6 dari 10 responden kaji selidik tersebut mengaku mengalami kerugian hingga RM7,000. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai skim-skim penipuan yang tular di Internet dalam artikel ini.
Sikap mengejar kepuasan segera ini juga boleh menerangkan kurangnya minat terhadap pelaburan dan tabiat menyimpan yang betul. Golongan millennial inginkan keuntungan besar dalam tempoh yang singkat, tetapi kedua-dua pelaburan dan simpanan adalah untuk menjana pulangan jangka panjang.
Pengajaran:
- Membina kekayaan mengambil masa, sama ada melalui pelaburan atau simpanan.
- Tidak ada jalan mudah untuk maju dalam pekerjaan atau perniagaan, kecuali dengan ilmu, usaha, serta kerja keras.
- Ambil masa dan buat kajian tellti sebelum anda membuat keputusan berkaitan kewangan.
- Amalkan sikap bersabar dalam membuat perancangan.
Cabaran untuk golongan millennial mungkin agak berbeza dengan generasi terdahulu. Namun, ini tidak bermakna kita dalam bahaya. Kita tidak akan lari dari kesilapan, tetapi jangan lupa untuk bangkit segera dan belajar dari kesilapan tersebut. Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dan nyatakan pendapat anda!
Berpegalaman Selama 13 Tahun Dalam
Bidang Pembiayaan Peribadi Koperasi
Comments