Credit To Utusan
2 ditipu RM11,800 menerusi online
KEPALA BATAS - Seramai dua individu di sini kerugian sebanyak RM11,800 selepas menjadi mangsa terbaharu penipuan menerusi internet semalam.
Dalam kejadian pertama, seorang guru berusia 59 tahun kerugian sebanyak RM6,800 ketika cuba membuat pinjaman RM60,000 selepas terpedaya dengan iklan di laman Facebook yang menawarkan pinjaman wang segera.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, akibat percayakan agensi pinjaman wang yang dillihat di dalam media sosial itu, pengadu membuat beberapa bayaran yang dipercayai untuk wang proses dan kos pinjaman.
“Mangsa telah memindahkan kesemua wang simpanan miliknya ke akaun suspek dengan percaya akan menerima wang pinjaman dengan cepat, namun sedar ditipu apabila gagal mendapatkan wang yang mahu dipinjam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam satu lagi kes berasingan, seorang pekerja swasta telah kerugian RM5,000 selepas diperdaya dengan sindiket yang menyamar sebagai rakan mangsa untuk meminjam wang.
Katanya, pengadu yang yakin dengan penjelasan suspek menyerahkan wang secara pindahan ke dalam akaun selepas diyakinkan wangnya akan dipulangkan dalam kadar segera.
“Namun, pengadu mendapati telah tertipu apabila berhubung dengan rakannya yang sebenar dan mendakwa tidak pernah berhubung dengan pengadu untuk tujuan tersebut,” katanya.
Norzainy berkata, dalam kedua-dua kes itu, mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek namun hanya mempercayai melalui media sosial dan perbualan telefon.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan di laman sosial yang menawarkan pinjaman wang selain tidak mempercayai panggilan telefon daripada individu yang mendakwa kenalan rapat untuk tujuan pinjaman wang.
“Kes berkenaan kini dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments